KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing termasuk pemastautin tetap sebagai pembantu di semua gerai dan kios bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan itu, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025.
Menurut kenyataan dikeluarkan MBDK, larangan tersebut melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar-pasar awam milik majlis.
“Hanya warganegara Malaysia dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai. Semua pembantu juga wajib didaftarkan dengan MBDK,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan atas arahan Datuk Bandar Klang.
Langkah tersebut diambil bagi mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta memperkemas sistem pemantauan dan pendaftaran pekerja di gerai-gerai kendalian majlis.
Pihak MBDK turut mengingatkan penyewa supaya mematuhi peraturan baharu ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang atau pembatalan lesen sewaan.
“Kami ingin memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana seperti ini diberi keutamaan kepada warga tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Maklumat lanjut serta prosedur pendaftaran pembantu gerai boleh diperoleh melalui Pejabat MBDK atau menerusi laman sesawang rasmi majlis tersebut.
Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini