KLANG, 15 FEB: Sebanyak 2.19 tan sampah dikutip di sekitar pantai Tanjung Harapan menerusi program Cintai Pantai Klang anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata program pada 8 hingga 13 Februari lalu disertai penduduk, pengusaha dan peniaga sekitar Tanjung Harapan dan Bagan Hailam.

Lebih 2 tan sampah dikutip di sekitar pantai Tanjung Harapan

“Sepanjang program berlangsung, sebanyak 1,690 kilogram sampah kitar semula dan 500 kilogram sampah domestik berjaya dikutip.

“Pada masa sama MBDK turut menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM2,400 kepada peserta yang berjaya mengumpul kutipan barangan kitar semula tertinggi,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Esplanade Tanjung Harapan, di sini.

Lebih 2 tan sampah dikutip di sekitar pantai Tanjung Harapan

Abd Hamid juga berharap semua pihak terus mengambil tindakan lebih proaktif untuk memelihara kebersihan alam sekitar terutamanya di sekitar pantai Klang.

Lebih 2 tan sampah dikutip di sekitar pantai Tanjung Harapan

 

Juara pertandingan, Bayah Sayyeng, 44, yang merupakan pengurus pusat memancing Sea Lion bersama 10 kakitangan berjaya mengutip 310 kilogram sampah kitar semula, sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.

“Ini kali pertama syarikat kami menyertai program gotong-royong seperti ini. Kami akan terus berusaha menjaga kebersihan kawasan sekitar kerana ia penting untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Orang Asli Bagan Hailam, Rizam Johari, 35, yang menyertai program itu bersama keluarga secara spontan berjaya mengumpul 240 kilogram sampah kitar semula dalam tempoh kurang 24 jam.

Lebih 2 tan sampah dikutip di sekitar pantai Tanjung Harapan

 

“Saya rasa gembira dapat jalankan gotong-royong ini bersama keluarga. Saya juga sokong usaha MBDK ini kerana pantai Tanjung Harapan kini semakin bersih dan lebih selesa untuk dikunjungi,” katanya.

Cintai Pantai Klang merupakan salah satu program yang disediakan di dalam Pelan Tindakan Tanjung Harapan Dan Bagan Hailam 2035.

Pelan itu merupakan inisiatif dan komitmen MBDK dalam usaha menambah baik kawasan tersebut dengan menyusun semula perancangan guna tanah, infrastruktur, utiliti dan kemudahan awam, pembangunan ekonomi dan sosial komuniti serta tarikan pelancongan.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini