SHAH ALAM, 27 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang didapati menjual permit kepada pihak ketiga.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan secara bersepadu di seluruh 22 lokasi tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri Jalan Taiping.
“Sekiranya didapati ada peniaga menyewakan tapak kepada pihak ketiga atau memanipulasi lesen tapak kita akan batalkan lesen serta-merta dan dilarang menjalankan perniagaan di bazar berkenaan.
“Saya tegaskan semua peniaga perlu melaksanakan perniagaan sendiri, dilarang jual beli permit kepada pihak lain,” katanya ketika sidang media mesyuarat penuh di ibu pejabat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata sebanyak 1,369 petak bazar Ramadan di 22 lokasi di Klang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 1 Ramadan ini.
Manakala, jelasnya, 356 petak bazar Aidilfitri Jalan Taiping akan beroperasi pada 7 hingga 30 Mac ini dengan jualan seperti keperluan raya, bunga api, inai, belon dan air minuman bertin/botol.
“Terdapat lagi 31 kekosongan tapak bazar Aidilfitri, kita membuka permohonan dengan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ yang boleh dimohon menerusi www.mylesen.mbdk.gov.my mulai 24 Februari,” katanya.
Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan supaya tapak bazar Ramadan dan raya diberi kepada individu yang benar-benar mahu berniaga bagi mengelakkan kenaikan harga.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah jika tapak bazar dimanipulasi atau hak lesen perniagaan dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab, ia menyebabkan harga makanan dan barangan mahal sekali gus membebankan pembeli.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini