KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menafikan dakwaan mengenai pokok yang ditebang di taman berhampiran Stadium Sultan Sulaiman di sini dibuat tanpa pertimbangan dan tidak melibatkan pakar dalam proses tersebut.

MBDK nafi dakwaan tindakan tebang pokok dibuat tanpa pertimbangan

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas berikutan pokok yang ditebang jenis Angsana itu mendatangkan risiko kepada pelajar sekolah berdekatan walaupun ia diselenggara hampir setiap tahun mengikut skop kerja pangkasan ditetapkan.

MBDK nafi dakwaan tindakan tebang pokok dibuat tanpa pertimbangan

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan telah melantik 24 panel kontraktor penyelenggaraan pokok ameniti dan dijangka memulakan kerja pada April 2025 bagi mengatasi isu pokok berisiko kepada penduduk setempat.

"Sekolah berhampiran pernah mengemukakan permohonan kepada MBDK, bersama ahli majlis kawasan, untuk mengambil tindakan segera terhadap pokok-pokok di kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

 

"Majlis dengan penuh rasa tanggungjawab dan prihatin telah melakukan kerja-kerja penebangan pokok pada 7 Februari lepas bagi mengelakkan sebarang insiden terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.


Norfiza menjelaskan bahawa penebangan itu dilakukan selepas perbincangan dengan arboris (pakar tumbuhan berkayu) bertauliah yang mengesahkan bahawa pokok tersebut berisiko tinggi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang.

 

Sebelum ini, media melaporkan penduduk yang sering mengunjungi taman berkenaan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan MBDK menebang beberapa pokok di kawasan tersebut yang didakwa dibuat tanpa pertimbangan dan tidak melibatkan pakar berkelayakan.

Mengulas lanjut, Norfiza berkata, MBDK melalui Jabatan Landskap dan Rekreasi mendapati bahagian dalam pokok sudah berlubang dan berisiko kepada pelajar serta penduduk termasuk mereka yang beriadah di stadium berhampiran.

 

Dalam pada itu, bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Klang, Azmi Jusoh mengucapkan terima kasih kepada MBDK atas tindakan yang diambil.

Menurut Azmi, isu pokok menjadi perhatian utama ibu bapa, terutamanya ketika musim hujan, kerana ia boleh mengancam keselamatan pelajar.

"Pokok berkenaan mengancam keselamatan pelajar, merosakkan struktur binaan berhampiran dan menyebabkan binatang liar masuk ke dalam sekolah melalui pokok tersebut,” katanya.

Azmi juga menganggap tindakan MBDK untuk menebang pokok-pokok yang berisiko adalah tepat dan wajar diberi penghargaan kerana ia menunjukkan komitmen dalam menangani aduan serta permohonan daripada penduduk setempat.

Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini