SHAH ALAM, 3 SEPT: Beberapa penambahbaikan termasuk pemasangan jaring pemedih akan dibuat di Taman Kucing Klang bagi mengelak keadaan panas, sekali gus menjamin keselesaan haiwan tersebut.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan dalam kenyatan berkata tempat perlindungan khusus untuk kucing terbiar itu juga bakal dilengkapi anjung, selain perhatian penjagaan pemakanan.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan meninjau persekitaran Taman Kucing Klang, baru-baru ini. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

Beliau menambah kucing berkenaan akan dilepaskan dari kandang untuk bergerak di kawasan taman pada sebelah pagi berikutan haiwan itu memerlukan ruang yang luas untuk melakukan pelbagai perkara.

“Kita merancang untuk bekerjasama dengan sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap Taman Kucing ini positif dan membanggakan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, beliau menafikan sebarang penindasan, pengabaian dan penganiayaan di taman kucing berkenaan, seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Memandang serius dakwaan berkenaan, beliau yang membuat tinjauan di kawasan tersebut berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan di situ serta komited menyegerakan penambahbaikan.

“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini, namun beberapa perkara yang ditularkan tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing yang didakwa lapar dan terbiar.

“Malahan dakwaan kematian kucing dalam jumlah yang banyak juga tidak benar. Hanya seekor sahaja yang mati sejak pengoperasian (diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby pagi tadi (semalam),” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa kucing yang berada di taman berkenaan diabaikan, selain tiada penebat pada bumbung menyebabkannya sangat panas untuk haiwan tersebut.

Projek inovatif MBDK bersama Sime Darby Property dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Ogos lalu.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini