Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Diraja Klang Dato’ Abd Hamid Hussain (tengah) bergambar di Bas Hop On Hop Off pada Pelancaran Bas Hop On Hop Off (Bas Ho Ho) Daerah Klang di Dewan Hamzah, MBDK pada 19 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
KLANG, 20 DIS: Perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) yang diperkenal Tourism Selangor kini diperluas di daerah Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Datuk bandar Klang berkata perkhidmatan bas itu beroperasi sepenuhnya mulai penghujung Disember ini dan akan membawa pelancong ke tempat menarik bermula di Pelabuhan Klang, berhenti di Galeri Diraja, GM Klang, Pasar Jawa dan berakhir di Taman Mangrove Point.
“Kita berharap dengan adanya perkhidmatan bas ini, pelancong lebih mengetahui sejarah Klang yang merupakan antara bandar tertua di Malaysia sekali gus meningkatkan ekonomi setempat,”kata Dato’ Abd Hamid Hussain.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kalendar Program Pelancongan Dan Kebudayaan MBDK 2025 Dan Bas Hop On Hop Off(Bas Ho Ho) bagi daerah Klang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad, semalam.
Terdahulu, berucap pada majlis perasmian, beliau memaklumkan Klang menduduki tempat keempat bagi pentadbiran pihak berkuasa tempatan dengan catatan pelancong sebanyak 459,979 setakat September lalu.
Dilancarkan Jun tahun lalu, HOHO memberi pengalaman kepada pelancong menaiki bas tanpa bumbung dengan hentian di beberapa lokasi tarikan pelancongan termasuk ladang buah naga dengan replika buah naga terbesar di Malaysia setinggi bangunan tiga tingkat.
Sejak diperkenalkan di Sepang, perkhidmatan bas itu berjaya menarik kira-kira 1,500 pelancong yang mana ia melibatkan 10 destinasi menarik.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini