KLANG – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) meneruskan operasi penguatkuasaan dengan menjalankan pemeriksaan terhadap tiga pasar mini di kawasan Bandar Sultan Suleiman di sini bagi membanteras premis perniagaan warga asing yang tidak mematuhi peraturan.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis memiliki lesen perniagaan dan iklan yang sah bagi tahun 2025, manakala dua lagi premis didapati beroperasi dengan lesen sementara.
"Satu premis tamat pada 10 September 2025, manakala satu lagi telah tamat tempoh iaitu pada 26 April tahun lalu," menurut pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Sehubungan itu, pihak MBDK telah mengeluarkan empat kompaun ke atas premis-premis terbabit, iaitu dua kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (UUK 3) dan dua lagi di bawah UUK 28(1), mengikut peruntukan undang-undang Majlis Perbandaran Klang 2007.
MBDK menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi undang-undang yang ditetapkan, sekali gus mengekalkan kesejahteraan serta ketertiban perniagaan di kawasan pentadbiran majlis.
Sumber : Sinar Harian
Sila klik pautan di sini