EXCO Keusahawanan Najwan Halimi bergambar bersama usahawan sempena majlis penyerahan Geran Digital Penjaja Madani di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 15 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
KLANG, 15 JUN: Seramai 1,200 penjaja seluruh Selangor bakal menerima bantuan Geran Digital Penjaja Madani bernilai RM1,000 dalam usaha mendigitalkan perniagaan masing-masing.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata geran inisiatif Kerajaan Persekutuan itu akan menjelajah ke setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula di Majlis Bandaraya Diraja Klang.
“Geran ini akan membantu memantapkan lagi perniagaan secara pendigitalan supaya dapat mewujudkan kelompok penjaja lebih berdaya saing dalam konteks ekonomi digital.
“Sebelum ini, Kerajaan Negeri menumpukan ekonomi kreatif usahawan dengan pelbagai agensi. Kali ini kita menjadi pemudah cara kerajaan untuk menyampaikan bantuan niaga dalam talian,” katanya.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi menyerahkan Geran Digital Penjaja Madani kepada usahawan Khairin Batrisyia Mohd Nasir di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 15 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Beliau yang ditemui selepas melancarkan program tersebut menambah seramai 100 orang daripada setiap PBT akan menerima manfaat tersebut dan jumlahnya akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, salah seorang penerima S Santhakumare, 35, menyifatkan pemberian geran tersebut meningkatkan lagi perniagaan penjagaan selepas bersalin yang diusahakan sejak 11 tahun lalu.
“Selepas bercerai, saya bekerja sebagai kerani dan mengusahakan perniagaan secara sambilan. Apabila semakin berkembang enam tahun lalu, saya berhenti kerja dan tumpu kepada perniagaan.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi menyerahkan Geran Digital Penjaja Madani kepada usahawan S Santhakumare di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 15 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
“Dengan adanya bantuan geran ini, saya boleh kembangkan lagi perniagaan supaya lebih dikenali dan tambah pendapatan untuk tampung dua orang anak yang masih bersekolah,” katanya.
Bagi Khairin Batrisyia Mohd Nasir, 28, pula bantuan geran memudahkan urusan pengalihan perniagaan kepada pendigitalan khususnya buat peniaga yang kekurangan modal.
Menjual kelengkapan ibadah dan buku agama bersama adik-beradik, dia berkata perniagaan itu diusahakan keluarga sejak 20 tahun lalu dan berharap ia terus bertahan.
“Sejak kecil saya melihat sendiri perkembangan perniagaan dan mengakui pentingnya pendigitalan dalam setiap urusan. Usaha ini amat bagus kerana mudahkan peniaga meneruskan perniagaan mengikut peredaran zaman,” katanya.
Sumber : Selangor Kini
Sila klik pautan di sini