KLANG, 28 OGOS: Kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor sekitar bandar Klang sempena program Gagasan Rumpun Selangor hari ini mengujakan rakyat setempat.
Peniaga, Sin Heng, 53, berkata dia tertarik melihat keramahan Tengku Amir Shah melayan rakyat pelbagai bangsa dan tidak kekok melayan permintaan untuk berswafoto.
“Baguslah program macam ini. Pergi ke tempat yang ada semua bangsa. Macam kedai ini (Chong Kok Kopitiam), tuanku datang makan. Baginda boleh lihat keunikan kedai sebab semua bangsa datang makan,” katanya ditemui.
Pelajar, Nur Raisah Mohd Hakim, 21, berkata dia sanggup menunggu hampir satu jam di stesen komuter Klang kerana ingin melihat wajah Tengku Amir Shah secara dekat.
“Saya nak naik komuter pergi kelas. Tadi ada yang maklumkan Raja Muda Selangor dalam perjalanan ke sini. Jadi saya tunggu sebab tak pernah lihat depan-depan,” katanya.
Sementara itu, pemilik Chong Kok Kopitiam berkata dia bersama ahli keluarga dan pekerja bertungkus lumus mengemas kedai sejak seminggu lalu sebagai persediaan menyambut kehadiran Tengku Amir Shah.
Yu Siok Kuk, 96, berkata hampir setiap hari mereka mengemas dan memastikan setiap sudut kedai dalam keadaan bersih malah beberapa bahagian kedai turut dicat.
“Sejak dibuka pada 1985, kedai ini memang menjadi perhatian kerabat diraja tapi ini pertama kali Raja Muda Selangor datang. Baginda cuba menu utama iaitu roti goyang, roti hainan dan kopi,” katanya.
Bermula hari ini hingga Jumaat, Tengku Amir Shah akan menjelajah ke seluruh Klang termasuk kawasan Pulau Ketam bagi menyantuni lebih ramai penduduk selain menjalankan beberapa aktiviti bersama rakyat.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini