SHAH ALAM, 18 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menafikan dakwaan tiada tindakan diambil terhadap kilang-kilang di sekitar Teluk Gong, Klang.
Pengarah jabatan komunikasi korporatnya berkata sebanyak 18 operasi pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini di kawasan tersebut oleh Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasa MBDK.
Pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjalankan 18 pemeriksaan kilang di sekitar Teluk Gong, Klang sepanjang tahun ini. Foto MBDK
Menurut Norfiza Mahfiz, sebanyak 27 kompaun dikeluarkan kepada pengilang membabitkan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen serta pencemaran saliran dan udara.
“MBDK sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan Teluk Gong mematuhi peraturan ditetapkan. Berdasarkan statistik, terdapat 274 kilang berlesen di Telok Gong. Daripada jumlah itu, 47 kilang berkaitan plastik yang mana tiga kilang plastik memiliki Permit Import (AP),” katanya kepada Selangorkini.
Beliau mengulas laporan akhbar bahasa Melayu pada Ahad lalu, yang mendakwa Teluk Gong berdepan pencemaran akibat puluhan kilang memproses sisa industri yang dipercayai beroperasi secara haram.
Tambah Norfiza, MBDK turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam melaksanakan kerja penguatkuasaan sekitar Teluk Gong.
“Dakwaan penduduk dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa MBDK tidak membuat pemantauan dan pemeriksaan di Teluk Gong adalah tidak benar sama sekali,” katanya.