SHAH ALAM, 28 FEB : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperuntuk RM6 juta bagi melaksana kerja menyelenggara dan pemangkasan pokok yang dijadual bermula bulan depan.

Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pihaknya akan melantik pakar tumbuhan berkayu untuk mengenal pasti pokok yang berisiko tinggi tumbang seperti mengalami kereputan akar.

“Selain itu kita melihat juga jika pokok itu kelihatan elok tetapi saiznya mungkin tinggi dan boleh menjejaskan persekitaran terutama ketika rebut, kita akan laksana kerja pemangkasan segera.

“Kerja akan bermula selepas lantikan kontraktor. Kita jangka kerja selenggara dan pemangkasan pokok bermula bulan. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan untuk selesai,” katanya pada siding media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan hari ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas insiden seorang lelaki maut dihempap pokok tumbang di Kampung Bukit Kuda, Isnin lalu, beliau berkata waris mangsa akan menerima pampasan namun jumlahnya belum diputuskan.

“Seandainya jumlah yang ditawarkan pihak insurans tidak dipersetujui pihak waris, maka mereka boleh memfailkan kes kepada mahkamah untuk membuat jumlah tuntutan dan diputuskan mahkamah.

“Kalau tiada berlaku apa-apa pertikaian dan pihak insurans boleh menawarkan jumlah yang munasabah dan dipersetujui pihak waris, perkara ini tidak akan berpanjanganlah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang Isnin lalu,  Aszehari Ansar, 46, maut selepas kenderaan dinaiki bersama anak perempuan dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda, Klang.

Anaknya, Nur Asyifa, 13, yang duduk di tempat duduk belakang kenderaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini