KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyarankan semua pemilik anjing untuk mendapatkan lesen anjing selaras dengan kehendak dan keperluan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing & Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.

Justeru, Program Melesenkan Anjing Peliharaan Secara In-Situ dijalankan di Dewan Ambang Botanik 2, Bandar Botanik Klang pada Sabtu bermula dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

 

Program Melesenkan Anjing Peliharaan Secara In-Situ dijalankan di Dewan Ambang Botanik 2, Bandar Botanik Klang pada Sabtu
Program Melesenkan Anjing Peliharaan Secara In-Situ dijalankan di Dewan Ambang Botanik 2, Bandar Botanik Klang pada Sabtu

MBDK memaklumkan, program tersebut merupakan salah satu program ‘outreach’ yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu kepada komuniti Klang yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan mereka.

"Pemilik-pemilik anjing peliharaan adalah bertanggungjawab untuk melesenkan anjing selaras dengan kehendak dan keperluan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing & Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.

"Di samping itu juga, program ini diharap dapat memupuk sikap tanggungjawab tinggi dari pemilik anjing bagi menjaga kebajikan anjing peliharaan.

"Selain itu, usaha itu juga secara tidak langsung dapat mengawal kacau ganggu daripada aktiviti pemeliharaan anjing," ujarnya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Dengan bayaran RM10 bagi setiap ekor sebanyak 95 ekor anjing berjaya dilesenkan manakala 32 daripadanya turut divaksinkan oleh agensi swasta (Claws Veterinary Clinic).

"Orang ramai juga boleh melayari http://mylesen.mpklang.gov.my/login untuk permohonan lesen anjing peliharaan secara dalam talian," tambah pihak berkuasa tempatan itu.

Pada program sama, MBDK turut membuka kaunter semakan kompaun antaranya kesalahan seperti halangan dan lalu lintas, kompaun letak kereta, kompaun caj meter, kompaun halangan sementara serta lain-lain kompaun.

"Dalam masa sama, Jabatan Kesihatan MBDK juga telah membuat pameran pencegahan demam denggi bagi kesedaran kepada orang awam yang telah hadir pada hari tersebut," ujarnya lagi.

Sumber : SinarHarian
Sila klik pautan di sini