KLANG: Klang Sustainable Stormwater Plan (KLASS) iaitu pelan tindakan mitigasi banjir untuk tempoh lima tahun akan datang masih mengikut jadual dan perancangan meskipun beberapa kawasan daerah Klang dilanda banjir kilat pada 11 April lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain, berkata pihaknya mengambil iktibar daripada kejadian berkenaan dengan menjadikannya sebagai indikator penting bagi memantapkan perancangan sedia ada.

"Semua perlu tahu KLASS adalah pelan selama lima tahun. Jadi, projek yang sedang dijalankan adalah berperingkat dan perlu melalui pelbagai proses termasuk perolehan dan jajaran. Mustahil untuk dilaksanakan serta-merta.

"Oleh itu data yang diterima daripada kejadian banjir kilat baru-baru ini boleh digunakan oleh kami (MBDK) untuk menguji keberkesanan pelan sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri MBDK di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd Hamid berkata pihaknya telah menghantar notis kepada pemaju di bawah pentadbiran MBDK untuk memastikan sistem perparitan diselenggara dan menyediakan kolam takungan berdekatan kawasan projek masing-masing bagi mengelakkan banjir.

Beliau berkata MBDK juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya pemilik premis perniagaan yang tidak cekap menguruskan sampah sehingga menyebabkan kelancaran sistem saliran dan perparitan di daerah Klang terganggu.

"MBDK juga akan mengambil tindakan kepada pemaju atau pemilik kediaman yang sesuka hati melakukan pembinaan melintasi sistem saliran dengan mereka akan diarahkan membuka atau membina semula saliran itu," katanya. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian
Sila klik pautan di sini