SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing sebagai pembantu di semua gerai dan kios kawasan pentadbirannya, mulai 1 Jun depan.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata penguatkuasaan termasuk permastautin tetap melalui arahan Datuk Bandar Klang melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar-pasar awam milik MBDK.

“Hanya warganegara Malaysia dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai dan wajib didaftarkan dengan MBDK pada tarikh kuat kuasa.

“Langkah diambil bagi mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan selain memperkemas sistem pemantauan pekerja di semua gerai kendalian MBDK,” kata Norfiza Mahfiz kepada Media Selangor.

Norfiza menambah penguatkuasaan dibuat bagi memperkemas sistem pendaftaran pekerja di gerai dan penyewa diingatkan untuk mematuhi peraturan baharu tersebut.

“Mereka bakal berdepan tindakan undang-undang atau pembatalan lesen sewaan jika gagal mematuhi larangan ini,” katanya lagi.

Sebarang maklumat lanjut mengenai prosuder pendaftaran, penyewa dan pembantu gerai boleh melayari laman sesawang rasmi MBDK atau hadir ke pejabat pihak berkuasa tempatan ini.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini