Klang: Lebih 300 individu menyertai program gotong-royong Cintai Sungai Klang fasa ketiga anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Kampung Sungai Udang, di sini.

Program berlangsung dari 7 hingga 11 pagi itu membabitkan aktiviti pembersihan kawasan pesisir sungai, penanaman pokok dan kempen kesedaran alam sekitar.

Aktiviti gotong-royong itu terbahagi kepada empat kawasan membabitkan kawasan sekitar Jeti Nelayan Kampung Sungai Udang, Masjid Darul Muttaqin, Sekolah Kebangsaan Sungai Udang dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Rasyid.

Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain berkata program turun padang itu disertai masyarakat setempat dan agensi berkaitan.

"MBDK mengambil berat mengenai kebersihan persekitaran Sungai Klang kerana ia sangat penting terhadap bekalan air, nelayan, sektor pelancongan dan ekosistem.

"Fasa pertama dan kedua program ini memberi kesedaran kepada penduduk dan kami dapati kawasan mereka kini lebih bersih berbanding dahulu," katanya selepas merasmikan program berkenaan di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Udang.

Sementara itu, Abd Hamid berkata fasa keempat program berkenaan dijadual berlangsung dalam tahun ini.

"Sungai Klang di daerah ini meliputi keluasan sebanyak 21 kilometer. Jadi dengan pelaksanaan fasa keempat ini kita harap ia dapat membersihkan seluruh persisiran Sungai Klang," katanya.

 

Sumber : HMetro
Sila klik pautan di sini