SHAH ALAM, 9 SEPT: Peserta program Cintai Sungai Klang Fasa 2 anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berpeluang menerima insentif mengikut hasil kutipan sampah yang boleh dikitar semula.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan berkata inisiatif itu diambil bagi menarik penyertaan menyarakat untuk bergotong-royong membersihkan sungai berkenaan.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan berucap pada program Cintai Sungai Klang Fasa 2 anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Klang pada 8 September 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

“Program ini bukan sahaja akan melaksanakan aktiviti gotong-royong di sekitar persisiran sungai, malahan sampah yang terkumpul akan diasingkan dahulu mengikut jenis supaya ianya boleh dikitar semula yang akan diuruskan oleh MBDK.

“Disamping itu, hasil kutipan kitar semula akan terus dibayar mengikut kadar yang ditetapkan kepada pihak terlibat,” katanya berucap merasmikan program berkenaan di Pengkalan Nelayan Kampung Delek, semalam.

Noraini menambah, MBDK merancang meneruskan program berkenaan di seluruh kawasan komuniti di persisiran Sungai Klang secara tahunan dan berterusan bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

Jelasnya, semua peserta yang terlibat juga akan didaftarkan terus sebagai Ahli Sahabat Sungai Klang yang menggabungkan pelbagai komuniti dalam usaha melindungi sungai berkenaan.

“Program pemuliharaan sungai seperti ini menjadi amat penting dalam usaha memulihkan keadaan sungai yang tercemar dengan sisa sampah dari daratan dan mengembalikan keindahan serta fungsinya yang asal,” katanya.

Datuk Bandar Klang Datin Paduka Noraini Roslan membantu peserta mengasingkan sampah yang dikutip untuk dikitar semula ketika program Cintai Sungai Klang Fasa 2 anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Pengkalan Nelayan Kampung Delek, Klang pada 8 September 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek SMG kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

Bagi pemulihan dan pembersihan Sungai Klang, terdapat dua mesin perangkap sampah iaitu Interceptor 002 dan 005 masing-masing beroperasi pada Ogos 2019 dan 2022.

Jentera Interceptor merupakan mesin inovasi ciptaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Belanda, Ocean Clean Up bagi proses pembersihan Sungai Klang yang lebih efektif.

Sebahagian daripada peserta program Cintai Sungai Klang Fasa 2 anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK)