Kuala Lumpur: Skuad ragbi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warriors enggan mendabik dada selepas melakar dua kemenangan selesa pada saingan Corporate Super Rugby (CSR) 2025.

Royal Town Warriors yang menerajui Kumpulan A memulakan kempen CSR dengan bergaya apabila mengatasi saingan sengit JLJ Rugby, 47-13, disusuli kejayaan menumbangkan Southern Oilers (Petronas), 48-3, Sabtu lalu.

Pengurus Pasukan, Shahizam Tukiran berkata pihaknya berdepan tentangan sengit daripada lawan dan berazam mengekalkan momentum kemenangan untuk aksi seterusnya.

Katanya, gandingan pemain muda dan pemain berpengalaman seperti Fairuz Rahman dan Faridzal Ismail serta dibarisi kebanyakan pemain yang sama untuk kempen CSR tahun lalu adalah kunci kekuatan pasukan.