Klang: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerusi Jabatan Kesihatan menjalankan operasi menangkap anjing liar di sekitar Klang termasuk di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang secara berkala pada waktu malam.

SEPANJANG tahun lalu MBDK menerima 2,609 aduan berkaitan gangguan anjing liar.

Pengarah Kesihatannya, Azmi Muji berkata, operasi membabitkan dua pasukan iaitu Pasukan Klang Selatan dan Pasukan Klang Utara seramai sembilan penangkap termasuk pemandu dan penyelia.

"Di sekitar kawasan Pangsapuri Seri Perantau, 23 anjing liar berjaya ditangkap sepanjang tahun lalu dan jumlahnya meningkat berbanding 15 pada 2023.

"Anjing liar ditangkap pasukan tangkapan MBDK ditempatkan di Pusat Kurungan Haiwan Sementara MBDK di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan gangguan anjing liar terutama di kawasan perumahan bukan isu baharu, malah ia bagaikan tidak berkesudahan dan menjadi antara kebimbangan penduduk.