KLANG, 17 APRIL: Prihatin dengan nasib mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) membuka tabung khas bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

Datuk Bandar Dato’ Abd Hamid Hussain berkata inisiatif itu sebagai tanda solidariti kepada mangsa tragedi dan sumbangan yang dikumpul akan disalurkan kepada Tabung Selangor Prihatin selewat-lewatnya minggu depan.

“Semoga sumbangan kami ini akan meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda seperti rumah, kereta dan motosikal.
“Untuk itu, kita akan tengok berapa jumlah yang terkumpul sebelum menyerahkan selewat-lewatnya minggu hadapan kepada Kerajaan Negeri menerusi Tabung Prihatin Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri MBDK 2025 di Dewan Hamzah disini, hari ini.
Terdahulu, Abd Hamid menyerahkan sumbangan hari raya kepada 120 penerima yang terdiri daripada asnaf, miskin tegar, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) dari seluruh daerah Klang.
Tambah beliau, penerima sumbangan raya itu dipilih melalui rekod dan senarai nama oleh setiap ahli majlis kepada mereka yang benar-benar layak.
Dalam pada itu, Abd Hamid turut memaklumkan sambutan Aidilfitri yang diadakan dalam suasana yang sederhana bagi menghormati mangsa akibat kebakaran letupan paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.
Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini